Sasaran bekalan elektrik untuk seluruh Sarawak menjelang 2025

Dr Abdul Rahman Junaidi (tengah) menanam pokok pisang di tepi jalan taman perumahan Bandar Baru Samariang.

KUCHING, Jan 20: Kementerian Utiliti Sarawak mensasarkan keseluruhan penempatan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar negeri ini akan mendapat bekalan elektrik menjelang 2025, termasuk sasaran penempatan penduduk di keseluruhan kawasan luar bandar sahaja menerima bekalan elektrik menjelang 2021

Menteri Muda (Utiliti) Bekalan Elektrik, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata sasaran tersebut ketika ini sedang berusaha dicapai pihaknya melalui perlaksanaan projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES).

“Kementerian Utiliti Sarawak mensasarkan pada 2025 keseluruhan atau sehingga 100 peratus kawasan di negeri ini mendapat bekalan elektrik, manakala keseluruhan kawasan luar bandar melalui projek RES sasarannya pada 2021,” katanya selepas merasmikan Program Menanam Pokok Pisang di Bandar Baru Samariang, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Dalam program itu, keseluruhannya sebanyak 22 batang anak pokok pisang wangi dari Sabah ditanam di tepi jalan kawasan perumahan terbabit yang dianjurkan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Pantai Damai dan SABERKAS Cawangan Batu Lintang bersama Persatuan Cina Bandar Baru Samariang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Bandar Baru Samariang sempena sambutan pra-Tahun Baru Cina.

Dr Abdul Rahman yang juga naib-presiden SABERKAS bagaimanapun tidak mendedahkan peratusan pembekalan elektrik di penempatan penduduk kawasan bandar dan luar bandar negeri ini setakat ini, tetapi sebahagian besar penempatan di kawasan luar bandar sudah mendapat bekalan elektrik melalui projek RES.

“Bagaimanapun memang ada sebahagian penempatan penduduk di kawasan luar bandar yang telah tercicir dari mendapat bekalan elektrik melalui perlaksanaan projek RES dan ini termasuk juga di kawasan Pantai Damai,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai.

Sehubungan itu, pihaknya memohon pemimpin akar umbi termasuk ketua kampung dan penghulu di kawasan luar bandar negeri ini supaya bersama mengenalpasti kawasan penempatan penduduk yang masih belum mendapat bekalan elektrik melalui projek RES dan menyampaikan maklumat tersebut kepada kementerian itu.

Ini termasuk juga maklumat mengenai penempatan yang sudah menerima bekalan elektrik tetapi belum mendapat kemudahan lampu jalan. Beliau juga meminta pemimpin akar umbi supaya memberikan butiran mengenai jumlah unit lampu yang diperlukan di setiap kampung dan rumah panjang di kawasan masing-masing. — DayakDaily