JPS Sarawak lakar sejarah tersendiri apabila berjaya cipta sistem IG

Normahyusni (tiga dari kiri) mendengar penerangan daripada kakitangan JPS mengenai sistem IG.

KUCHING, Jan 20: Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Sarawak melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mencipta sistem perakam aras air hibrid yang bercirikan komprehensif khas yang dinamakan sebagai ‘Intelligent Gauge’ (IG) atau Tolok Pintar.

Sistem IG itu telah memenangi Anugerah Inovasi Ketua Menteri Sarawak bagi kategori Agensi Negeri dan mendapat penarafan empat bintang melalui kumpulan jurutera dari JPS sempena Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif Perhidmatan Awam Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2017.

Penolong Pengarah JPS Sarawak, Normahyusni Mohd. Annuar berkata, sistem IG ini dicipta bagi merekodkan data aras air secara telemetrik dan hakiki selain memantau kejadian banjir kilat di negeri ini.


Jelas beliau, sistem itu dihasilkan oleh sekumpulan 10 jurutera JPS Sarawak dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.

“Sebagai permulaan, IG yang memakan kos sebanyak RM20,000 seunit itu akan dipasang di tiga lokasi iaitu Jalan Badruddin dan Jalan Durian Burung di Kuching manakala satu lagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tuang, Kota Samarahan.

“Sistem IG ini mempunyai kelebihan kerana membantu mempercepatkan masa pegawai JPS mengumpul data banjir dengan hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit tanpa perlu pergi ke lokasi,” katanya semasa membuat demontrasi IG di Kuarters Kerajaan Persekutuan Stampin di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, lazimnya, sistem perakam aras air mudah alih untuk mengesan kejadian banjir sudah ada digunakan di negara ini.

Namun katanya, tiada sistem yang sedia ada berkeupayaan merakam data mengenai paras air bagi membolehkan kajian lanjut dilakukan.

“Dengan adanya IG ini, semua data aras banjir dibekalkan secara hakiki dan berterusan.

“Pada masa sama, siren dan ‘strobe light’ akan memberikan amaran secara audio dan visual kepada penduduk sekitar sebaik sahaja IG mengesan ukuran aras air mencecah 0.15 meter,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan sama, Normahyusni menjelaskan, ciri-ciri kelebihan yang ada pada IG menjadikan sistem itu sesuai dipasang di kawasan bandar yang terdedah kepada risiko banjir kilat.

Ini kerana katanya, IG mampu mengesan kejadian banjir kilat dengan cepat berbanding sistem lain yang mengambil masa tiga hingga enam jam bagi siren amaran berbunyi sebelum berlaku banjir.

“Sehubungan itu, kami yakin sistem IG dapat meningkatkan keupayaan JPS dalam memantau kejadian banjir kilat.

“Seterusnya data yang dikumpul dapat digunakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan agensi lain bagi tujuan pemantauan dan kesiapsiagaan menghadapi banjir,” ujarnya.

Sambil menambah, beliau memberitahu, JPS Sarawak akan meneruskan kajian bagi menambah baik sistem IG.

“Kita juga merancang memperbanyakkan lagi pemasangan sistem IG di kawasan kerap berlaku banjir kilat di seluruh Sarawak,” jelasnya. — DayakDaily