Penduduk dibenarkan menanam pokok buah-buahan di Bandar Baru Samariang

Kawasan taman perumahan di Bandar Baru Samariang yang sudah ditanam oleh penduduk dengan pelbagai jenis pokok buah-buahan.

KUCHING, Jan 20: Penduduk taman perumahan Bandar Baru Samariang di Petra Jaya kini boleh menanam lebih banyak pokok buah-buahan bagi mencantikan persekitaran luaran rumah mereka dan mereka tidak akan dikenakan tindakan dari pihak berkuasa tempatan.

Menteri Muda (Utiliti) Bekalan Elektrik, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ini termasuklah sekiranya mereka menanam pokok buah-buahan sehingga tepi jalan yang di luar kawasan rumah masing-masing.

“Ini kerana kita sudah mendapatkan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) supaya membenarkan penduduk taman perumahan ini menanam pokok buah-buahan dan pokok bunga bagi mencantikkan persekitaran luaran rumah mereka
termasuk di tepian kiri dan kanan sepanjang jalan utama Bandar Baru Samariang ini,” katanya selepas merasmikan Program Menanam Pokok Pisang di Bandar Baru Samariang, Jalan Sultan Tengah, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai malahan pernah mencadangkan kepada DBKU supaya menanam pokok buah-buahan seperti rambutan, mangga dan buah lain di tepian jalan sekitar taman perumahan sekitar bandaraya ini bagi mencantikkan persekitarannya selain menanam bunga.

“Bagaimanapun kami meminta kerjasama penduduk taman perumahan supaya tidak pula bergaduh kerana berebutkan buah dari pokok terbabit dan mahu ketua kampung dan penghulu memainkan peranan membahagikan buahan itu kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata berikutan itu, SABERKAS Cawangan Pantai Damai dan SABERKAS Cawangan Batu Lintang telah memilih kawasan tepi jalan Bandar Baru Samariang bagi menjalankan program menanam pokok pisang tahun ini.

Keseluruhannya sebanyak 22 batang anak pokok pisang wangi dari Sabah ditanam melalui program tersebut yang diadakan dengan kerjasama Persatuan Cina Bandar Baru Samariang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Bandar Baru Samariang.

“Program menanam pisang ini adalah acara tahunan SABERKAS Cawangan Batu Lintang setiap dua, tiga bulan sebelum sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan program terbabit di Bandar Baru Samariang adalah yang kali keempat
diadakan mereka,” katanya. — DayakDaily