Sarawak sasar tembusi pasaran perabot antarabangsa

Naroden (dua kiri) bersama buku Minggu Reka Bentuk selesai sidang media di Kuching. Foto ihsan dari Ukas.
Advertisement

KUCHING, 11 Jan: Sarawak Design Centre (SARADEC) menyasarkan untuk menembusi pasaran antarabangsa dalam reka bentuk perabot.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pengerusinya Datuk Mohd Naroden Majais berkata visi pusat itu adalah untuk menjadi Perusahaan Reka Bentuk Global menjelang tahun 2030.

“Ini juga menyokong misi SARADEC untuk mendapatkan kedudukan bagi perabot Sarawak di pasaran dunia,” katanya semasa sidang media Minggu Reka Bentuk 2023 anjuran SARADEC di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Advertisement

Minggu Reka Bentuk 2023 bertemakan ‘Design for Tomorrow’ bertujuan mempamerkan reka bentuk yang kreatif oleh SayD’signersSarawak dan bakal diadakan pada 13 hingga 16 Februari ini di BCCK.

Tambah Naroden, reka bentuk perabot Sarawak telah menarik minat pelbagai lapisan pembeli dan pengumpul di peringkat antarabangsa yang tertarik dengan keistimewaan produk tempatan.

“Reka bentuk ini dapat menggabungkan budaya dan alam semula jadi dengan motif asli daripada Sarawak yang terdiri daripada pelbagai budaya dan etnik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata ini merupakan kali pertama program seperti ini diadakan di Sarawak dan akan menjadi aktiviti tahunan yang melibatkan pavilion reka bentuk, ceramah dan pameran.

Tambahnya, seramai 3,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa disasarkan untuk datang ke Minggu Reka Bentuk 2023 dengan lebih RM10 juta pertanyaan pelaburan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Tun Openg bakal menyempurnakan majlis perasmian Minggu Reka Bentuk pada 13 Februari ini. — Dayakdaily

Advertisement