Sarawak sasar 20,000 hektar tanaman nenas menjelang 2030

Abdul Rahman (tiga dari kiri) merasmikan Seminar Industri Nanas Sarawak 2023. Foto: TVS

KUCHING, 13 Dis: Sarawak menyasarkan untuk mewujudkan kawasan penanaman nanas seluas 20,000 hektar menjelang 2030, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut laporan TVS, Abang Johari berkata ini akan menghasilkan pengeluaran nanas yang mampu memenuhi pelbagai segmen termasuk dipasarkan secara segar atau dijadikan produk hiliran dan eksport.

Kata beliau, menjelang penghujung 2025, Sarawak disasarkan untuk mencapai pertambahan kawasan seluas 1,200 hektar dan peningkatan pendapatan pengusaha nanas kepada RM8,000 sebulan.


“Ini turut melibatkan peningkatan produktiviti pengeluaran tanaman daripada 40 tan metrik kepada 50 tan metrik sehektar,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada perasmian Seminar Industri Nanas Sarawak 2023 di sini hari ini.

Sementara itu Abang Johari berkata, sejak Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) beroperasi di Sarawak pada 2010, kawasan seluas kira-kira 3,000 hektar telah dibangunkan dengan tanaman berkenaan.

Usaha itu katanya wajar diteruskan malah dipergiatkan dengan kerjasama agensi pertanian berkaitan.

“(Selain itu) telah terbukti ia mampu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat yang terlibat dalam industri nanas dengan pendapatan RM5,000 sebulan,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau turut yakin industri nanas di Sarawak mempunyai potensi yang sangat cerah untuk terus berkembang dan hasilnya akan dinikmati oleh pelbagai pihak. — DayakDaily