Sarawak sasar 1.2 juta pelancong pada 2022

Abdul Karim (dua dari kanan) mempamerkan kalendar pelancongan Sarawak 2022 pada sidang media di Kuching. Turut kelihatan Snowdan (kanan) dan Dennis (dua dari kiri).
Advertisement

KUCHING, 22 Feb: Sarawak pada tahun ini menyasarkan ketibaan pelancong mencecah sekurang-kurangnya 1.2 juta pengunjung.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bakal menghasilkan pendapatan berjumlah RM3.2 bilion.

“Kini jumlah ketibaan pelancongan telah meningkat di mana pada bulan Januari dan Februari merekodkan peningkatan lebih 500 peratus jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun lepas.

Advertisement

“Nampaknya keadaan sudah kembali pulih dan kita berharap pada tahun ini kita mampu mencapai sasaran 1.2 juta pelancong dengan pendapatan RM3.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri di sini, hari ini.

Abdul Karim yakin dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang jumlah pelancong ke Sarawak akan terus meningkat berdasarkan keyakinan bahawa keadaan Covid-19 di negeri ini adalah terkawal.

Baru-baru ini tambah beliau, Perdana Menteri telah mengadakan kunjungan ke Brunei di mana kedua-dua negara hampir setuju untuk melaksanakan Vaccinated Travel Lane (VTL).

“Sebelum ini (Covid-19), memang ramai pelawat dari Brunei datang ke negeri ini. Kalau dibuka menerusi pelaksanaan VTL, sudah pasti jumlah pelawat akan meningkat.

“Walaupun mereka menggunakan jalan darat tetapi mereka juga adalah pelancong, walaupun sehari mereka adalah pelawat yang berbelanja di sini.

“Selain itu, kita juga fokus kepada pelancong dari Singapura dan Semenanjung Malaysia,” kata Abdul Karim.

Turut hadir Menteri Muda Industri Kreatif Dan Persembahan Seni Datuk Snowdan Lawan dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau. — DayakDaily

Advertisement