Abdul Karim: Perlumbaan Spartan capai objektif

Abdul Karim (depan, dua kanan) bersama penganjur dan pemenang kategori ‘ultra’ lelaki.

KUCHING, 19 Oktober: Perlumbaan Spartan mampu menjadi acara tahunan dalam usaha meningkatkan industri pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kerajaan negeri akan memberikan sokongan ke arah merealisasikan tujuan tersebut.

“Jika ia dapat dilakukan sedemikian dengan kerjasama penganjur, kita akan memberi sokongan dan sudah tentu kita harus melobi.


“Kita ingin melihat perlumbaan lasak ini sebagai acara tahunan, sekiranya boleh,” katanya kepada pemberita di majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Perlumbaan Spartan hari ini.

Perlumbaan yang pertama kali berlangsung di Borneo itu diadakan di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, di sini.

Disamping itu, Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan, menyifatkan perlumbaan telah mencapai objektif dengan jumlah penyertaan melebihi jangkaan.

Katanya, penganjur mensasarkan sebanyak 3,000 penyertaan dan ia telah dicapai dengan penyertaan dari Singapura, Jepun, Australia, Andorra, Malta dan lain-lain termasuk Semenanjung Malaysia.

“Sebanyak 65 peratus peserta adalah dari luar Sarawak dan ini sangat baik untuk industri pelancongan kita,” katanya.

Pemenang kategori ‘ultra’ lelaki – (dari kiri) Cloarec, Jiaju dan Kholi.

Pada perlumbaan pagi tadi, iaitu kategori ‘ultra’ lelaki, tempat pertama dimenangi Jiaju Zhao dari China dengan catatan masa 5:10:04.43.

Tempat kedua dimenangi peserta India, Kholi S (5:47:41.76) dan ketiga dimenangi Quentin Cloarec dari Kuala Lumpur dengan catatan 6:33:43.77.

Antara halangan yang disediakan di dalam acara selama dua hari ini adalah menarik beban berat menggunakan tali, merangkak ala komando, memanjat tali dan memikul bebanan. —DayakDaily