MOTAC sasar 2 juta pelancong asing bagi 2022

Nancy pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 18 Mac: Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya (MOTAC) mensasarkan ketibaan 2 juta pelancong asing bagi tahun 2022 setelah sempadan negara di buka semula pada 1 April ini.

Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, sasaran tersebut bakal menjana pendapatan berjumlah RM6.8 bilion.

“Bagi pelancongan domestik, jika pada tahun 2019 kita memperolehi RM103 bilion, maka pada tahun 2022 ini kita mensasarkan 60 peratus daripada jumlah tersebut,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Terdahulu Nancy merasmikan Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) di Jalan Stadium, Petra Jaya.

Menurut Nancy, kerajaan akan membantu pengiat industri khususnya pengusaha tempat riadah dalam menaik taraf kemudahan sedia ada.

Katanya, produk pelancongan domestik merupakan tarikan utama pengunjung dan merupakan tarikan kepada pelancong asing juga.

“Seperti di kawasan saya di Batang Sadong, kebanyakan kawasan pelancongan milik orang perseorangan.

“Kalau hendak membangunkannya agak susah, maka kita membantu membina jeti, tempat parkir dan ia akan menjadi kawasan tarikan pelancongan,” kata beliau.

Berhubung sasaran 2 juta pelancong asing, Nancy berkata ia boleh dicapai dengan usaha kerajaan membida sebanyak mungkin penganjuran acara busines di dalam negara.

Setakat ini ujar beliau, kerajaan telah berjaya membida satu acara yang akan membawa 7,000 peserta pada bulan Julai depan. ― DayakDaily