Sarawak Rangers pasukan elit kebangsaan Sarawak

Mohd Melintang (kanan) bersama Mendiang Awang.

KUCHING, 22 Julai: Sarawak Rangers telah terlibat dalam banyak operasi ketenteraan samada dalam atau luar negara selain melahirkan ramai pahlawan-pahlawan negara yang hebat.

Menurut Pengerusi Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) Lt Kol (Bersara) Mohd Melintang Abdullah, Sarawak Rangers juga dijadikan satu platform untuk anak-anak Sarawak menempah kejayaan dalam kerjaya mereka dalam bidang keselamatan dan pertahanan Negara.

Katanya, anak Sarawak dalam Sarawak Rangers juga berpeluang untuk memegang jawatan tertinggi serta diberi peluang untuk berkhidmat diperingkat antarabangsa.


“Di dalam negara, mereka telah memperlihatkan keperwiraan dan tahap keberanian yang tinggi apabila sanggup berjuang berhabis-habisan untuk menentang komunis demi keselamatan dan kedaulatan negara khasnya negeri Sarawak.

“Semangat juang semasa pertempuran jelas menunjukan bahawa cogan kata “Agi Idup Agi Ngelaban” tetap menyemarakan semangat perjuangan di kalangan anggota Sarawak Rangers,” katanya dalam kenyataan bersempena Sambutan Hari Sarawak 2021 hari ini.

Tambah Mohd Melintang, Sarawak Rangers dianggap sebagai pasukan elit yang tiada tolok bandingannya serta merupakan satu kebanggaan anak Sarawak.

Mengimbau sejarah lalu, Sarawak Rangers katanya diasaskan pada zaman Kerajaan Brooke pada tahun 1841.

Seterusnya pada tahun 1862, Charles Brooke telah menubuhkan pasukan Sarawak Rangers untuk tujuan menjaga keselamatan Sarawak dan ditugaskan untuk menjaga keselamatan kubu-kubu yang telah dibina oleh kerajaan Brooke di merata-rata tempat di Sarawak.

Pasukan ini dikenali sebagai “Fortman” dan pada tahun 1862 di tukar kepada Sarawak Rangers.

“Pada tahun 1894, Sarawak Rangers dimobilisasi dan terlibat di dalam beberapa ekspedisi atau operasi ketenteraan untuk keamanan negara Sarawak.

“Jumlah anggota Sarawak Rangers bertambah daripada 32 orang pada bulan Oktober 1862 kepada 539 orang pada bulan Disember 1930.

“Namun akibat daripada masalah kewangan yang tidak mencukupi untuk menanggung pembelanjaan maka Sarawak Rangers dibubarkan,” kata Mohd Melintang.

Semasa penjajahan Jepun pada tahun 1945 ujar beliau lagi, pasukan Sarawak Rangers diaktifkan semula menentang pemerintahan Jepun di Sarawak.

Selepas berakhirnya pemerintahan Jepun anggota Sarawak Rangers diambil bekerja sebagai Jungle trackers (Iban Trackers) semasa menentang pengganas komunis di Malaya semasa darurat (1948-1960).

“Semasa menentang pengganas komunis di Malaya beberapa orang Iban Trackers telah mengukir nama sebagai pahlawan yang berani pada waktu pertempuran menentang Komunis.

“Diantara pahlawan-pahlawan yang mendapat anugerah keberanian ialah seperti Mendiang Awang anak Raweng yang telah dianugerahkan “George Cross” pada 27 Mei 1951,” katanya.

Justeru tegas Mohd Melintang, sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Iban Trackers dari Sarawak memainkan peranan yang penting dalam menentang pengganas Komunis di Malaya khasnya semasa Zaman Darurat (1948-1960).

Dalam tempoh tersebut katanya dilaporkan khidmat seramai 1168 orang Iban Trakers telah digunakan oleh pihak British.

Pasukan Sarawak Rangers telah melalui satu lagi transformasi pada 31 Mac 1960 yang mana Sarawak Rangers (Malaya) Unit dimansuhkan dan pada 1 April 1960 Pasukan Sarawak Rangers (Far East Land Forces) ditubuhkan.

“Namun menjelang pembentukan Malaysia, Sarawak Rangers (Far East Land Forces) telah dibubarkan pada 15 September 1963 dan ini membawa kepada pembentukan Malaysia Rangers.

“Tindakan ini sejajar dengan perjanjian Malaysia dimana Sarawak Rangers dibubarkan dan diganti Kor Rejimen Ranjer DiRaja. Semua anggota Sarawak Rangers diserap masuk menyertai Kor Rejimen Ranjer DiRaja,” kata Mohd Melintang. — DayakDaily