Anak muda Sarawak digesa hayati erti dan semangat Hari Sarawak

Dato Sri Nancy Shukri

KUCHING, 22 Julai: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato Sri Nancy Shukri menyeru rakyat negeri ini terutamanya anak-anak muda untuk menghayati erti dan semangat sambutan Hari Sarawak.

Katanya yang juga MP Batang Sadong, sejarah itu haruslah menjadi rujukan dalam apa jua tindakan yang hendak diambil apabila memperjuangkan hak kita sebagai rakyat Sarawak.

“Ayuh! Marilah kita sebagai anak Sarawak mempertahankan tanah pusaka yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya dan janganlah kita per-siakan amanah ini disebabkan oleh pengaruh negatif.


“Sebagai anak Sarawak, marilah kita tinggalkan legasi positif untuk masa depan anak-anak Sarawak.

“Sama-samalah terus menjaga dan melindungi Sarawak, Ibu Pertiwiku,” katanya dalam mesej khas Hari Sarawak 2021 yang diraikan hari ini.

Tambah Nancy, tarikh 22 Julai 1963 merupakan tarikh yang sungguh bermakna apabila rakyat Sarawak akhirnya dapat menggunakan hak mereka untuk berkerajaan sendiri seperti yang terdapat dalam prinsip pentadbiran Rajah Brook.

Menurut beliau, ini memberi peluang kepada anak Sarawak untuk menjaga, melindungi, seterusnya menentukan hala tuju negeri. — DayakDaily