Sarawak perlu lebih ramai pemandu pelancong pasca Covid-19

Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 21 Okt: Sarawak akan memerlukan lebih ramai pemandu pelancong pada masa hadadapan apabila Industri terbabit kembali seperti sebelum penularan Covid-19.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Abdul Rahman Hamzah berkata, dengan inisiatif kerajaan Sarawak membuka dan menyediakan pelbagai produk pelancongan baharu serta sedia ada, khidmat pemandu pelancong amat diperlukan.


“Pemandu pelancong merupakan duta kecil yang memperkenalkan Sarawak kepada pelancong dan juga dunia luar”katanya

Beliau berkata, kewujudan permintaan terhadap jumlah pemandu pelancong di Sarawak turut membantu dalam mengurangkan masalah pengangguran khususnya di kalangan graduan dan kerjaya ini adalah seiring dengan kemajuan industri pelancongan.

Kata Abdul Karim, walaupun industri pelancongan ketika ini agak suram akibat penularan pandemik Covid-19, kerajaan terus mengambil peluang ini untuk merangka pelan serta program dalam memperkasakan industri pelancongan pasca Covid-19.

Ujarnya, kursus ‘Regional Specific Tourist Guide’ (RSTG) umpama akan menyediakan Sarawak dengan lebih ramai pemandu pelancong apabila permintaan terhadap perkhidmatan itu naik mendadak pasca Covid-19.

Tambah Abdul Karim, Sarawak akan memantau bagaimana berjayanya sesebuah negara menangani penularan Covid-19 sebelum mengambil keputusan untuk membuka pintu sempadannya sama ada bagi tujuan pelancongan atau industri lain.

“Saya difahamkan Singapura dan Hong Kong sudahpun membuka pintu sempadan mereka, kita akan melihat kepada perkara seperti ini, Taiwan juga agak bagus dalam menangani penularan wabak Covid-19 dan kita mungkin akan membuka pintu sempadan kita kepada mereka,” katanya

Bagaimanapun, keputusan itu terletak pada penilaian oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri selepas meneliti semua aspek berkaitan.

“Ketika ini, keutamaan lebih kita berikan kepada sektor pelancongan domestik terutamanya pelancong dari semenanjung atau Sabah. Malangnya ketika ini kita terpaksa sekat pelancong dari Sabah susulan peningkatan jangkitan di negeri tersebut,” katanya. –DayakDaily