Sarawak mohon 10 peratus penambahan kuota haji

Datuk Len Talif Salleh

KUCHING, 7 Mei: Sarawak memohon penambahan kuota haji sekurang-kurangnya 10 peratus dari jumlah keseluruhan kuota haji Malaysia, kata Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Len berkata, Malaysia mempunyai kuota sebanyak 31,600 manakala jemaah haji Sarawak hanya mendapat lebih kurang 800.

“Ianya selalu diutarakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) agar permohonan ini dari orang Sarawak sekurang-kurangnya mendapat 10 peratus kuota haji dikhaskan untuk Sarawak.


“Kita akan menghantar seramai 31,600 jemaah Malaysia ke tanah suci pada tahun ini, yakni kembali ke kuota asal yang dibenarkan oleh kerajaan Arab Saudi setelah dikurangkan hanya kepada 14,000 jemaah pada musim lalu akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam merasmikan Kursus Perdana Haji anjuran Tabung Haji (TH) Sarawak bertempat di Masjid An-Nur di Sibu semalam.

Tambah Len, TH telah memenangi Anugerah Labbaitom untuk Perkhidmatan dan Program Bimbingan Haji Terbaik Dalam Dunia Islam daripada kerajaan Arab Saudi.

Katanya, pencapaian ini bukan sahaja dibanggakan oleh pihak TH, malah menjadi kebanggaan seluruh umat Islam Malaysia.

“Saya berharap anugerah ini akan menjadi pemangkin untuk TH sentiasa berinovasi dalam penambahbaikan perkhidmatan dan operasi haji akan datang,” ujarnya. — DayakDaily