Sarawak masih kekurangan 3,000 guru, kata Manyin

Kelihatan Manyin (dua dari kanan) semasa menerima kunjungan dari Exco PIBG SMK Tebakang.

KUCHING, 3 Mei: Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Amar Micheal Manyin Jawong berkata Sarawak masih kekurangan kira–kira 3,000 guru.

Justeru katanya, semua guru dan tenaga pengajar perlu komited dengan tugasan mereka bagi memberi pendidikan yang baik untuk pelajar termasuk di luar bandar.

“Keperluan sekolah-sekolah rendah di kawasan luar bandar sentiasa diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.


“Ia bagi memastikan pencapaian sekolah di luar bandar seiring dengan sekolah-sekolah di bandar,” katanya, menurut petikan laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat dari Exco Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang hari ini.

Kunjungan hormat tersebut bertujuan bagi membincangkan isu pendidikan khususnya berkaitan pencapaian sekolah-sekolah luar bandar yang kini merosot.

Tegas beliau lagi, di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran yang terbaik, kementerian juga memastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap sewajarnya.

Tambahnya lagi, pembinaan “Centralised School” bagi kawasan DUN Tebedu akan tetap dilaksanakan. — DayakDaily