Sarawak mampu sediakan banyak lagi bantuan kepada rakyat — Abang Johari

Fatimah (dua dari kanan) memotong riben belon sebagai simbolik perlancaran Taska Qaseh Laila mewakili Ketua Menteri.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 Okt: Kerajaan negeri mampu menyediakan lebih banyak bantuan kepada yang memerlukan pada masa-masa yang akan datang.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berikutan hasil negeri yang semakin bertambah.


“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sebuah kerajaan yang sentiasa ingin membantu rakyat untuk mengatasi permasalahan yang dihadapi oleh mereka selain daripada mentadbir negeri secara keseluruhan.

“Kita menjaga ekonomi tapi kita tidak lupa untuk memahami kesulitan yang dihadapi oleh rakyat, khasnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana iaitu, B40 dan M40.”

Teks ucapan Abang Johari dibacakan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah yang mewakili beliau pada Perasmian Taska Qaseh Laila di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah membelanjakan RM2.55 bilion untuk melaksanakan tiga pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) untuk melegakan kesulitan yang dihadapi oleh rakyat kesan pandemik Covid-19.

Katanya, rakyat Sarawak sangat beruntung kerana berpeluang menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan melalui Bantuan Perihatin Nasional (BPN) dan juga BKSS 1, 2 dan 3.

“Bantuan juga diberi kepada ibu-ibu yang melahirkan anak dengan bantuan tunai sebanyak RM450 untuk tempoh tiga bulan ketika ibu-ibu dalam waktu berpantang.

“Anak yang dilahirkan juga menerima bantuan RM1,000 dalam bentuk ‘endowment fund’, bertujuan untuk menyediakan perbelanjaan persekolahan kepada anak-anak apabila mereka mencapai umur 18 tahun.

“Kerajaan GPS juga menyediakan bantuan RM3,000 kepada keluarga yang berkelayakan untuk tujuan menguruskan jenazah serta perkhidmatan bas sekolah secara percuma,” tambah Abang Johari.

Berhubung Taska Qaseh Laila, beliau berharap beberapa lagi cawangan taska tersebut diwujudkan di sekitar Kuching.

Menurut Abang Johari, taska seumpama itu membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada ibu-ibu tunggal.

Tambah beliau, mereka yang tidak ada pekerjaan boleh bekerja sebagai pengasuh setelah menjalani latihan wajib dari pihak tertentu dan di perakui oleh pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Fatimah pada ucapan aluan berkata, taska menyediakan perkhidmatan sokongan yang sangat diperlukan oleh para ibu bapa yang kedua-duanya bekerja.

Menurut beliau, Taska Qaseh Laila yang diuruskan Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (Pitsa) menekankan asuhan yang berkualiti dan jagaan anak-anak di tempat yang selamat. — DayakDaily