Sarawak dan Bandar Cimahi, ikat perjanjian serta kerjasama, bangunkan pelbagai sektor dalam mendepani revolusi digital

Abdul Rahman (tiga dari kanan) bersama Sabariah (kanan) menyaksikan majlis menandatangani ‘Letter Of Intent’ antara Ajay (dua dari kanan) dan Timbalan Pengarah DBKU (Perkhidmatan Infrastruktur), Mohamad Faisal Adenan (tiga dari kiri) di Kota Cimahi, Provinsi Jawa Barat, Indonesia, pada Sabtu (Sept 21, 2019).

KUCHING, Sept 23: Dalam memastikan pembangunan bandar pintar Kuching dan bandar-bandar lain di Sarawak dilaksanakan dengan jaya, kerajaan Sarawak telah mengikat kerjasama dengan Pemerintah Bandar Cimahi, di Jawa Barat, Indonesia.

Kerjasama itu melibatkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS)

Majlis menandatangani ‘Letter Of Intent’ antara pihak terlibat telah berlangsung di Kota Cimahi, Provinsi Jawa Barat, Indonesia, pada Sabtu lepas.

Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Walikota Cimahi, Ir Ajay Muhammad Priatna telah menyaksikan majlis menandatangani ‘Letter Of Intent’ tersebut.

Menerusi perjanjian kerjasama itu, kerajaan Sarawak dan Cimahi akan bekerjasama untuk membangunkan bandar pintar dalam sektor seperti urus tadbir kerajaan, penjenamaan, ekonomi, gaya hidup, masyarakat dan persekitaran yang akan menjadi penggerak strategi transformasi Sarawak ke arah revolusi digital.

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Negeri Sarawak, Datu Dr Sabariah Putit berkata, hab inovasi digital Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS) untuk usahawan tekno serta perantau digital perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anak muda Sarawak agar mereka juga dapat menjadi komuniti yang berdaya saing, kreatif dan inovatif.

Jelas beliau, hab-hab inovasi yang diwujudkan oleh kerajaan Sarawak merupakan pemangkin transformasi modal insan di negeri ini ke arah mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi.

“Sarawak telah ada hab-hab inovasi. Hasrat kerajaan negeri agar setiap bahagian mempunyai hab digital seperti yang ada di Kuching, Sarikei, Miri dan Bintulu.

“Hab-hab digital ini akan memberi ‘platform’ kepada pelajar atau bakat muda tidak kira latar belakang pendidikan menunjukkan bakat mereka selagi mereka memiliki ilham dan kreativiti yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, kebanyakan anak-anak muda Cimahi yang ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menjadikan hobi dalam animasi ‘Artificial Intelligence’ sebagai sumber pendapatan yang menjana kekayaan pada usia muda. — DayakDaily