Sarawak catat pendapatan lebih RM10 bilion setiap tahun sejak 2019 — Adun Tupong

Fazzrudin Abdul Rahman

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 23 Mei: Setiap tahun sejak 2019 Sarawak telah mencatat pendapatan lebih RM10 bilion, kata Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurut Fazzrudin, kelulusan pindaan 2 rang undang baru-baru ini telah membuka beberapa sumber pendapatan Sarawak lagi.


“Sejak tahun 2019, setiap tahun Sarawak telah mencatat pendapatan lebih RM10 bilion dan saya yakin kita akan melihat peningkatan dalam tahun mendatang seperti yang dinyatakan oleh Adun Samariang dalam ucapan pembentangan pindaan kanun pada 17 Mei lepas.

“Secara konservatif, pendapatan tambahan RM3.5 billion melalui aktiviti ekonomi yang dibenarkan oleh kelulusan pindaan baru-baru ini,” kata Fazzrudin.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN hari ini.

Dengan pandapatan yang begitu tinggi tambah Fazzrudin, ia sudah tentu mewujudkan lebihan dalam simpanan dana negeri.

Katanya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memulakan perbincangan bersama Norway untuk mempelajari dari mereka berkenaan dengan Sovereign Fund.

“Sovereign Fund adalah yang terbesar di dunia iaitu melebihi USD3 trillion. Maka tepatlah strategi Abang Johari untuk menjalinkan kerjasama dengan Norway untuk membangunkan Sovereign Fund kita sendiri.

“Saya yakin dengan kepimpinan beliau kita akan mampu untuk mewujudkan sovereign fund kita sendiri.

“Sudah tentu dengan peningkatan pendapatan ini maka dapatlah Sarawak merasai pembangunan yang mampan termasuklah di kawasan Dun Tupong,” katanya yang juga Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak. — DayakDaily