Wanita disyaki terlibat judi dalam talian ditahan di Jambusan, Bau

PDRM logo

BAU, 23 Mei: Seorang wanita ditangkap kerana disyaki menjalankan kegiatan penjualan judi dalam talian di sebuah kedai serbaneka di Pekan Jambusan, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Bau telah melakukan serbuan di premis tersebut sekitar jam 12.30 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang wanita berusia 47 tahun disyaki menjalankan kegiatan penjualan judi dalam talian.


“Suspek ditahan dan satu unit telefon bimbit, kad sim serta sejumlah wang tunai turut dirampas daripada suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun,” katanya.

Poge menyeru orang ramai untuk melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berhubung kegiatan judi dalam talian. — DayakDaily