Sarawak catat kes rabies terbaharu

Poster kesedaran rabies. Ehsan Kementerian Kesihatan Malaysia

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 28: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan bahawa terdapat satu kes rabies dalam kalangan manusia yang baharu disahkan melalui ujian sampel klinikal pada November 27 lepas.

Kes terbaharu itu melibatkan seorang lelaki berumur 21 tahun yang tinggal di Batu 7 di sini.


Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit berkenaan pernah digigit oleh seekor anjing tidak bertuan pada Oktober 4 lepas.

Jelas beliau, status vaksinasi anjing tersebut serta keadaan kesihatannya tidak diketahui.

“Selepas digigit, pesakit berkenaan tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan.

“Pesakit hanya membeli ubat di farmasi untuk disapu di luka tersebut dan pada November 21 lepas pesakit telah mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, pesakit itu juga tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing.

Katanya, pada November 24 lepas, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila mengalami lemah kedua-dua kakinya.

“Pesakit kemudian telah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala ‘hydrophobia’, ‘aerophobia’ dan kekeliruan.

“Pesakit kini sedang menerima rawatan dan dalam pemerhatian rapi pakar-pakar klinikal HUS,” ujarnya.

Berdasarkan rekod, dengan pengesahan terbaharu ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada Jun 30, 2017 adalah 14 kes.

Terdapat 12 kes telah meninggal dunia, satu kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan kes terbaru ini masih dalam rawatan.

Sehingga November 25 lepas, kerajaan negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 bahagian itu sebagai kawasan jangkitan rabies.

Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan. — DayakDaily