Dua perompak kedai runcit diberkas

Anggota polis menahan dua suspek kes rompak kedai runcit.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 27: Selepas 27 jam menyembunyikan diri selepas melakukan rompakan di sebuah kedai runcit di Sungai Maong, dua suspek utama dalam jenayah itu dicekup polis hari ini.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 28 dan 34 tahun diberkas di Tabuan Jaya pada pukul 12.50 tengah hari.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang digunakan suspek semasa melakukan kes jenayah berkenaan.

Katanya, sebelum tangkapan itu, kedua-dua suspek dikatakan telah merompak kedai runcit dan menyerang seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang di situ

“Ketika kejadian, kedua-dua suspek telah melarikan wang tunai sebanyak RM1,200, pelbagai jenis rokok selain telefon bimbit milik wanita berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Denis menambah, kedua-dua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya lagi. — DayakDaily