Sarawak bina pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang

Abang Johari (fourth from the right) officiating the Gedong District Ramah Tamah Aidilfitri ceremony.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 April: Kerajaan Sarawak akan membina sebuah pelabuhan laut dalam baharu di Tanjung Embang di kawasan Gedong.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia merupakan satu lagi kemudahan penting kerana pelabuhan sedia ada iaitu Pelabuhan Senari agak kecil.


“Kita bina pelabuhan baharu di Tanjung Embang, tetapi bukan di tanjung—ia dibina di laut.

“Kita lakukan kerja menembok tanah di laut, maknanya kita ada pelabuhan di laut dan dihubungkan ke pantai.

“Dari Tanjung Embang, kita hubungkan ke Samarahan dan Gedong,” kata Abang Johari di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong di sebuah hotel di sini, malam ini.

Beliau yang juga Adun Gedong yakin kerajaan Sarawak mampu merealisasikan projek tersebut.

Katanya, kaedah tersebut telah berjaya di laksanakan di Osaka, Jepun.

“Kalau Jepun boleh, tidak patut Sarawak tidak boleh.

“Kalau Osaka boleh, Shanghai boleh, Gedong mesti boleh dalam membangunkan pelabuhan,” kata Abang Johari.

Pada bulan Julai 2022 lalu, kerajaan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pelabuhan Antwerp-Bruges dan pihak swasta dari Sarawak di Belgium.

MoU adalah bagi cadangan membangunkan Pelabuhan Tanjung Embang di muara Sungai Sarawak di sini secara kerjasama antara Pelabuhan Antwerp dan Hubline Bhd.

Pelabuhan Antwerp merupakan pelabuhan kontena antarabangsa kedua terbesar di Eropah dan ke-14 di peringkat dunia sementara Hubline adalah syarikat tempatan yang terlibat dalam perkhidmatan logistik perkapalan secara pukal. — DayakDaily