Sarawak berpotensi sebagai hab pengeluaran peranti perubatan

Mussen (duduk tiga dari kanan) dan Lukanisman (duduk tiga dari kiri) pada "Sesi Libat Urus bersama Pemain Industri Perubatan di Sarawak 2024". Foto: Ukas

KUCHING, 14 Feb: Sarawak berpotensi sebagai hab pengeluaran peranti perubatan yang terkemuka di Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Mussen berkata ia boleh direalisasi dengan memanfaatkan kekuatan dalam sumber semula jadi termasuk lokasi strategik, infrastruktur dan tenaga kerja terlatih.

“Ini dibantu oleh dasar kerajaan yang mesra perniagaan, Sarawak boleh menarik pelaburan dalam industri peranti perubatan yang menyumbang kepada pertumbuhan industri kesihatan,” kata Mussen.


Beliau berkata demikian pada “Sesi Libat Urus bersama Pemain Industri Perubatan di Sarawak 2024” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tambah Mussen, peranti perubatan memainkan peranan penting dalam industri penjagaan kesihatan.

Katanya ia menyimpan peluang pelaburan yang besar, didorong oleh inovasi dalam kemajuan teknologi dan perubahan paradigma penjagaan kesihatan dalam menitikberatkan keperluan pesakit.

“Industri ini diyakini akan terus membawa era baharu bagi penyelesaian penjagaan kesihatan transformatif seperti kecerdasan buatan (AI), peranti pembedahan robotik dan peranti perubatan bersepadu dengan platform penjagaan kesihatan digital.

“Kita berusaha untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan kesihatan dan akan membangunkan industri peranti perubatan untuk menyediakan penjagaan pesakit berkualiti tinggi melalui infrastruktur kesihatan yang serba lengkap,” katanya.

Dalam pada itu, Mussen memaklumkan Taman Teknologi Tinggi Kuching telah dikenal pasti sebagai salah satu inisiatif pemangkin untuk industri elektrik dan elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi termasuk peranti perubatan.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni. — DayakDaily