Sambutan hangat terhadap program anjuran PEMADAM Sarawak

Fail foto: Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING, 3 Ogos: Seramai 8,600 orang peserta dari Malaysia, Indonesia dan Brunei telah mengambil bahagian dalam “Program Bicara Profesional: Penyalahgunaan Dadah Peringkat Kebangsaan 2021”.

Program dianjurkan secara dalam talian bermula pada 31 Julai dan berakhir pada 1 Ogos lalu dimana seramai 6,500 orang telah menyertai hari kedua.

Menurut Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sambutan hangat terhadap program dua hari itu menunjukkan minat dan sokongan masyarakat termasuk golongan belia yang turut serta secara virtual.

“Program ini merupakan salah satu inisiatif yang dilaksana oleh PEMADAM Sarawak sebagai usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat di Malaysia, Brunei dan Indonesia mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta bahan bahan yang boleh menghancurkan masa hadapan kita semua,” kata Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Tambah beliau, inisiatif ini bertujuan untuk membantu golongan belia untuk lebih peka mengenai perkara yang perlu dielak agar tidak terjebak dalam kancah hina.

Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, pihak PEMADAM Sarawak akan menganjur lebih banyak lagi program dan aktiviti serupa di masa hadapan dimana orang ramai terutama golongan belia dan pelajar sekolah akan dijemput untuk turut serta.

Program dianjur PEMADAM Sarawak bersama PEMADAM Daerah Kanowit dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Kanowit.

Turut serta Profesor Madya Dr. Puteri Hayati Megat Ahmad(anggota Lembaga Kaunselor Malaysia), Profesor Madya Dr. Mohd. Nazri bin Mohd. Daud dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaysia Sabah.

Indra Sotarduga Simorangkir(Badan Narkotika Nasional Provinsi Jawa Barat, Indonesia) dan Dr. Hari Nugroho(Balai Besar Rehabilitasi Badan Narkotika Nasional Indonesia). — DayakDaily