Sagah sokong cadangan memperkenalkan silibus teknologi dron

Sagah (tengah) menyaksikan penyerahan momento MoU oleh Hallman (kiri) kepada Norhalim di Auditorium Sarawak Skills.

KUCHING, 27 April: Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn menyokong cadangan untuk memperkenalkan industri dan teknologi dron dalam silibus pendidikan Sains, Teknologi dan Kejuruteran Matematik (STEM).

Menurut beliau, ada keperluan untuk menambah baik sistem kokurikulum sekolah bagi mengadaptasi perkembangan dan pembangunan teknologi baru.

“Saya menyokong usaha ini, ia bukan sekadar memberi pengetahuan untuk menerbangkan dron.


“Saya percaya ia akan memberikan idea bagaimana untuk membina dron sendiri, yang lebih baik daripada ciptaan Amerika.

“Ini juga memberi pengetahuan baru kepada masyarakat kita,” katanya semasa berucap di Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sarawak Skills dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) Centre of 9 Pillars (Co9P) di sini hari ini.

Tambah Sagah, Malaysia kini tidak boleh sekadar bergantung kepada dron ciptaan negara luar kerana alat tersebut telah digunakan secara meluas di dalam pelbagai bidang.

“Teknologi dron digunakan di dalam aspek keselamatan, pertanian moden, industri binaan bangunan dan pelbagai lagi,” ujar Sagah.

Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini bercadang untuk memperkenalkan industri dan teknologi dron dalam silibus pendidikan STEM bagi melahirkan lebih ramai lagi pelapis dan penggiat industri itu pada masa hadapan.

Menterinya Datuk Seri Adham Baba berkata, pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan berhubung perkara itu.

Ia juga sebagai usaha kerajaan dalam memperkemaskan silibus serta menarik minat ramai terhadap subjek STEM.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) Dato Norhalim Yunus. — DayakDaily