SADA lulus 7 projek dengan nilai RM142,670,000

Dato Sri Rohani Abdul Karim

KUCHING, 29 Jan: Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah meluluskan 7 projek dengan kos keseluruhan RM142,670,000.

Pengerusi SADA Dato Sri Rohani Abdul Karim berkata, kesemua projek telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu SADA yang bermesyuarat semalam.

“Agensi pelaksana akan menyediakan dokumentasi dan rekabentuk bagi projek-projk berkenaan,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek yang diluluskan ialah Kerja-Kerja Lindungan Tebing Sungai Batang Lupar dengan kos RM60,000,000 bagi mengatasi masalah banjir dan hakisan di Kampung Hilir, Kampung Tengah dan Kampung Hulu, Bandar Simanggang.

Kedua, Kerja-kerja Pembinaan Sistem Saliran Di Taman Tiara, Sri Aman dengan kos RM10,000,000 bagi mengatasi masalah banjir dan menambahbaik sistem perparitan di Taman Tiara.

Ketiga, Kerja-kerja Pembinaan Sistem Saliran Di Kampung Resak, Sri Aman dengan kos RM10,000,000 bagi mengatasi masalah banjir dan menambahbaik sistem perparitan di Kampung Resak, Bandar Simanggang.

Keempat, Kerja-kerja Pembinaan Sistem Saliran Di Pasir Panas, Sri Aman RM10,000,000 bagi mengatasi masalah banjir dan menambahbaik sistem perparitan di Pasir Panas, Bandar Simanggang.

Kelima, Projek Taman Rekreasi Seduku yang bernilai RM50,000,000 bagi menyediakan infrastruktur riadah dan sekaligus mempromosikan fenomena benak Sri Aman.

Keenam, Projek Tapak Glamping Wong Enseluai, Batang Ai dengan kos RM2,200,000 bagi enyediakan tapak glamping bagi menarik pengunjung dalam menerokai alam semula jadi di Batang Ai.

Dan ketujuh ialah Projek Nanga Sumpa Forest Trail dengan kos RM470,000 bagi pembangunan pelancongan.

Tambah Rohani, laporan bagi projek-projek yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu SADA pada tahun 2021 turut dibentangkan semasa mesyuarat.

Katanya, sebanyak 48 cadangan projek dengan anggaran kos bernilai RM1.17 billion telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu SADA disepanjang tahun 2021.

“Ini telah dimuktamadkan yang merangkumi projek infrastruktur (jalan raya & jambatan dan sistem saliran & pengairan), pertanian (eko-sistem) dan juga ekonomi bukan pertanian (pelancongan),” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan setiap Pengerusi Jawatankuasa Kerja telah membentangkan laporan status pelaksanaan bagi projek-projek yang telah diluluskan ini.

“Kesemua projek ini kini berada dalam fasa pra-pelaksanaan yang mana melibatkan proses-proses dokumentasi dan rekabentuk projek.

“Kebanyakan projek dijangka akan mula pembinaan pada pertengahan tahun 2023,” kata Rohani. — DayakDaily