S4S: Kerajaan persekutuan tidak patuhi MA63

Phang Ngin Pen

KUCHING, Okt 21: Gerakan Sarawak for Sarawakians (S4S) menyifatkan kerajaan persekutuan tidak mematuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jurucakap S4S Phang Ngin Pen menerusi kenyataan media hari ini menyatakan tindakan kerajaan persekutuan berhubung tuntutan hak dan kuasa mencerminkan mereka tidak mengikut undang-undang berdasarkan perjanjian antarabangsa itu.

Justeru beliau mempersoalkan kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar baru-baru ini bahawa bahawa perairan, sumber dan cukai dimiliki oleh Sarawak secara sah.


“Soalannya, adakah kerajaan persekutuan ambil peduli dengan anda? Adakah anda masih mengharapkan kerajaan persekutuan akan berunding mengikut undang-undang?

“Ini membuktikan bahawa nasib Sarawak masih lagi dipijak dan diabaikan kerajaan persekutuan.”

Phang turut memperincikan perkara berhubung tuntutan-tuntutan hak dan kuasa dalam MA63 yang perlu dijelaskan kerajaan Sarawak kepada rakyat negeri ini.

Beliau mempersoalkan bagaimanakah kerajaan Sarawak hendak mengambil balik sempadan perairan dan hak kawal selia terhadap sumber minyak dan gas yang di bawah sistem persekutuan.

“Petronas masih meneruskan aktiviti menerokai minyak dan gas di perairan Sarawak,” ujar beliau lagi.

Sekiranya kerajaan Sarawak berpendapat bahawa adalah mustahil untuk melancarkan Referendum untuk keluar dari Persekutuan Malaysia, Phang meminta Mohamad Asfia menjelaskan rancangan yang boleh dilakukan.

Tambah beliau, ia termasuk mengembalikan 100 peratus perairan yang dimiliki oleh Sarawak, sumber-sumber dan hak cukai jualan seperti yang termaktub dalam Undang-undang Antarabangsa, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Sarawak. — DayakDaily