RUU Pengedaran Gas (Pindaan) 2023 akan permudah agihan gas

Dayang Noorazah Awang Sohor

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 21 Nov: Rang Undang-Undang Pengedaran Gas (Pindaan) 2023 akan mengembang dan memudah pengagihan gas di Sarawak.

Menurut ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ia dilaksanakan menerusi perlantikan aggregator gas.


Katanya, aggregator membolehkan penyediaan gas kepada industri dan pengguna yang memerlukan gas untuk perniagaan mereka dan sekaligus dapat mengukuhkan, meningkatkan dan mengembangkan rangkaian sedia ada.

“Merujuk kepada Pindaan pada Seksyen 2 Ordinan Pengagihan Gas 2016, yang menerangkan maksud “Gas Aggregator”, adalah seseorang yang dilantik di bawah seksyen 7A untuk mendapatkan gas asli untuk pengagihan atau bekalan kepada mana-mana orang, loji, entiti atau premis dan untuk membangunkan, mengembangkan dan mengekalkan rangkaian dan sistem pengedaran gas di Sarawak,” kata Dayang Noorazah.

Beliau berkata demikian pada perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Pengedaran Gas (Pindaan) 2023 yang dibentangkan Menteri Utiliti Dan Telekom Dato Sri Julaihi Narawi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambah beliau, aggregator gas memainkan peranan yang sangat penting bagi merealisasikan objektif kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) khususnya untuk meluaskan bekalan gas asli di peringkat domestik.

Sebelum adanya Petroleum Sarawak Berhad (Petros), kata Dayang Noorazah, sebagai contoh pasaran bekalan bagi LPG gas seberat 12kg dan 14kg dipelopori oleh Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Shell Berhad di seluruh Negeri Sarawak.

“Maka itu, dengan berpaksikan aspirasi rakyat, kami mengharapkan pihak kerajaan Sarawak dapat memperluaskan bekalan gas LPG terutamanya di kawasan pesisir dan pedalaman yang lebih strategik.

“Ini supaya caj tambahan dari pembekal bagi penghantaran bekalan gas LPG tidak terlalu tinggi,” kata Dayang Noorazah. — DayakDaily