RUU Elektrik (Pindaan) 2023 utamakan kelestarian alam sekitar

Billy pada perbahasan menyokong Rang Undang-Undang Elektrik (Pindaan) 2023.

KUCHING, 21 Nov: Adun Opar Billy Sujang percaya pindaan terhadap Electricity Ordinance 2016 melalui Rang Undang-Undang Elektrik (Pindaan) 2023 adalah sangat tepat pada masanya.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, beliau berkata, ia bersesuaian dengan halatuju Kerajaan Sarawak yang memberi penekanan kepada Kelestarian Alam Sekitar dan penggunaan Teknologi Hijau.

“Sebagai penyedia tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia pada masa ini, Sarawak boleh memainkan peranan yang sangat penting di dalam mempercepatkan peralihan tenaga rantau ini dengan menjalin kerjasama dengan negara jiran serta berkongsi sumber tenaga,” katanya.


Tambah Billy, Sarawak sangat bertuah dalam aspek penghasilan tenaga hijau yang maksima kerana memiliki sumber alam semulajadi yang luas dan belum diteroka.

Katanya, ini merupakan aset penting bagi penyediaan dan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan objektif Kerajaan Sarawak untuk mempunyai infrastruktur tenaga terkini.

“Memetik ucapan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa membentangkan cadangan Belanjawan Negeri 2024 kelmarin, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Sarawak sedang menggubal Dasar Peralihan Tenaga (ETP) bertujuan untuk memastikan Sarawak dan rakyatnya mempunyai tenaga yang selamat, bersih, berpatutan, cekap dan boleh dipercayai.

“Ini dapat direalisasikan kerana Sarawak mempunyai banyak sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti tenaga hidro, tenaga angin, dan kuasa solar.

“Lain-lain sumber tenaga adalah biogas, biomass, biofuel dandan biological waste yang boleh menghasilkan tenaga elektrik,” kata Billy.

Ujarnya lagi, sumber-sumber ini boleh digunakan untuk menjana elektrik yang bersih dan berpatutan yang dapat membantu mengurangkan kebergantungan Sarawak kepada sistem penjanaan tenaga secara konvensyional dengan menggunakan bahan api fosil. — DayakDaily