RM35 juta bagi projek penanaman semula kelapa di Sebangan — Abang Johari

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Photo credit: Sarawak Premier's Office

Oleh Chris Bishop

SEBUYAU, 27 April: Kerajaan Sarawak lulus peruntukan RM35 juta bagi projek penanaman semula kelapa spesis baharu di Sebangan, Sebuyau.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penanaman semula dengan kaedah moden itu bakal menghasilkan buah kelapa yang lebih besar.


“Saya pergi ke Sebangan melihat pokok kelapa yang hidup tidak, mati pun tidak dan daunnya kuning.

“Saya mahukan buah kelapa yang besar. Bermakna kita terpaksa tukar pokok kelapa ini dengan kelapa jenis baharu.

“Julaihi (Adun Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi) kata orang kampung tiada duit.

“Saya lulus RM35 juta kita buat penanaman semula. Kalau orang Filipina boleh, kita Sarawak pun boleh.

“Kita runding dengan orang kampung untuk tebang semua pokok kelapa dan tanam dengan spesis baharu,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau hari ini.

Tambah beliau, tanah di sekitar Sebangan sekarang sesuai setelah kerajaan negeri membina benteng dari Sebuyau hingga ke Sebangan dengan kos RM400 juta.

Katanya, benteng berjaya menghalang air masin masuk sekaligus menjadi tanah subur bagi tanaman kelapa.

“Kelapa bukan untuk air dan isi sahaja, hampasnya digunakan untuk membuat kerusi.

“Daun pun boleh dikomersial dan dibuat baja,” kata Abang Johari. — DayakDaily