Dr Rundi: Isu air berbau di Dalat akan selesai pada Julai 2021

Pemasangan salah satu pam baharu pada 11 Jun, 2021 di Kolam Takungan Air Mentah Sungai Ud, Dalat.

KUCHING, 13 Jun: Isu bekalan air terutama isu air berbau di daerah Dalat akan dapat diatasi pada bulan Julai 2021.

Menurut Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, kerajaan menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sedang melaksanakan beberapa projek pemasangan pam baharu dan fasiliti pengudaraan untuk mengatasi masalah tersebut.

“Bagi jangka masa terdekat ini, projek pemasangan dua buah pam baharu di kolam takungan air mentah Sungai Ud di bawah Projek Rakyat sedang giat dilaksanakan.


“Sebuah pam telah siap dipasang pada 11 Jun, 2020 manakala pemasangan sebuah lagi pam dijangka selesai sepenuhnya pada bulan Jun ini.

“Projek pemasangan fasiliti pengudaraan di Loji Rawatan Air Dalat kini dalam fasa pembinaan dan dijangka siap pada bulan Julai 2021.

“Setelah projek ini siap dijalankan, isu bekalan air terutama isu air berbau akan dapat diatasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu air berbau yang berlaku di daerah Dalat sejak awal bulan Jun berpunca daripada lebihan kandungan bahan organik di dalam kolam takungan air mentah Sungai Ud.

Kolam tersebut menyalurkan air mentah ke Loji Rawatan Air Dalat untuk diproses dan dirawat serta ketiadaan fasiliti pengudaraan yang berperanan untuk membantu menyahbau air di loji tersebut.

Tambah Dr Rundi, JBALB memberi jaminan bahawa sebarang isu yang melibatkan kualiti air sentiasa menjadi keutamaan dan diberi perhatian penuh dengan mematuhi piawaian.

Katanya, keprihatinan kerajaan Sarawak terhadap pembangunan sistem bekalan air di Bahagian Mukah, termasuk Daerah Dalat dibuktikan dengan peruntukan berjumlah RM51.6 juta.

“Ia menerusi perlaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi, jangka pendek dan sederhana di bawah Pakej Projek Rakyat.

“Semua projek telah dan sedang giat dilaksanakan sejak tahun 2018 untuk memastikan penduduk-penduduk di kawasan berkenaan mempunyai infrastruktur bekalan air bersih yang lebih baik,”ujar Dr Rundi. — DayakDaily