Rubiah gesa kerajaan bina UTC di Kota Samarahan

Rubiah Wang - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Julai: MP Kota Samarahan Rubiah Wang mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kota Samarahan.

Katanya, Samarahan kini merupakan bandar ilmu dengan sebahagian besar populasinya terdiri daripada pelajar-pelajar institut pengajian tinggit termasuklah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan beberapa lagi.

“Tambahan pula, kebanyakan penjawat awam dan swasta serta golongan professional mendiami kawasan-kawasan perumahan di Kota Samarahan berbanding di bandaraya Kuching.

“Oleh itu, perkhidmatan awam seperti hal ehwal imigresen bagi mengurus pas perjalanan terhad, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), perkhidmatan pembayaran bil utiliti dan lain-lain kini mendapat permintaan tinggi bagi penduduk Kota Samarahan.

“Oleh yang demikian saya mencadangkan pihak kerajaan unuk mewujudkan Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di Kota Samarahan,” katanya.

Rubiah berkata demikian pada ucapan perbahasan di persidangan parlimen semalam.

Menurut beliau lagi, UTC yang dicadangkan sesuai dibina di kawasan The Summer Mall bagi memenuhi keperluan penduduk di Kota Samarahan khasnya bagi mendapatkan perkhidmatan selepas waktu pejabat.

Dalam pada itu, Rubiah berkata, isu kepadatan murid atau pelajar di sekolah juga menjadi isu yang sangat mustahak untuk diselesaikan di Kota Samarahan.

Jelas beliau, kebanyakan sekolah sedia ada di Kota Samarahan kini beroperasi melebihi had kebiasaannya yang mana terpaksa menampung jumlah murid melebihi 50 orang dalam satu kelas berbanding 35 atau 40 orang murid dalam kapasiti asal.

Hal ini katanya didorong oleh pertambahan populasi di Kota Samarahan apabila lebih banyak taman-taman perumahan siap dibina.

“Di kawasan Parlimen Kota Samarahan sahaja mempunyai 27,767 orang murid dan pelajar yang terdiri dari 57 buah sekolah iatu 51 buah sekolah rendah dan enam sekolah menengah dengan kira-kira 450 buah kelas.

“Daripada 57 buah sekolah, 38 daripadanya adalah dalam kategori sekolah daif.

“Sehubungan itu, saya ingin bertanya kepada pihak Kementerian Pendidikan adakah cadangan pembinaan sekolah-sekolah baharu di Kota Samarahan khasnya di kawasan Stakan, Bandar Samarahan dan Zon Empila,”ujar Rubiah. — DayakDaily