Bangunkan negeri dengan kekayaannya adalah tugas pemerintah dan rakyat — Pas Sarawak

Zharudin Narudin

KUCHING, 22 Julai: Pas Sarawak percaya membina pembangunan negeri ini dengan kekayaannya adalah satu agenda yang mesti dipikul oleh pemerintah.

Menurut Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) Sarawak Zharudin Narudin, ia juga mesti dengan sokongan dan kerjasama daripada rakyat.

“Malah pemerintah iaitu kerajaan negeri ketika ini mesti turun ke lapangan untuk mendengar perjalanan rakyat.


“Zaman ini bukan lagi hanya sekadar turun dan menunaikan permintaan rakyat agar rakyat terus menyokong semasa pilihanraya.

“Bukti jelas apabila rakyat menghukum Barisan Nasional pada PRU14 lalu,” katanya menerusi satu kenyataan sempena Hari Sarawak yang disambut hari ini.

Katanya lagi, pemerintah tidak seharusnya menguasai negeri ini untuk membina empayar puak dan legasi kekayaan sehingga rakyat merana.

Perkara penting jelas beliau ialah kejujuran dan ikhlas untuk mentadbir dan mengurus negeri ini.

Justeru katanya, persoalan kini bukan lagi berhubung bangsa manakah yang layak memerintah negeri ini atau menghitung bilangan anak bangsa dan kaum masing-masing yang bekerja di sektor pentadbiran, industri atau sektor yang lain.

Dalam pada itu, beliau percaya meraikan Hari Sarawak selepas 57 tahun mestilah sesuai dengan usianya.

“Isu kita berkisar hak, pembangunan ekonomi, pengurusan hasil kita yang mewah dan pembangunan struktur masyarakat yang moden sesuai dengan budaya anak Sarawak yang sentiasa bertoleransi,” ujar beliau. — DayakDaily