RM47.3 juta untuk program pembangunan pekebun kecil getah Sarawak

Uggah (tujuh dari kiri) merakamkan gambar bersama peserta Tanam Semula RISDA di Betong.

BETONG, Mac 9: Sarawak menerima peruntukan sebanyak RM47.3 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil getah di seluruh negeri pada tahun ini.

Peruntukan yang disalurkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Getah (RISDA) itu adalah untuk melaksanakan pelan pembangunan strategik sekali gus meningkatkan pendapatan dan taraf sosio-ekonomi para pekebun kecil di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, seramai 74,000 pekebun kecil getah di negeri mesti bersedia merebut peluang itu dengan menjadikan getah sebagai tanaman strategik.


Jelas beliau, RISDA telahpun membuat tinjauan ke seluruh negeri dan memperoleh maklum balas positif daripada para pekebun kecil getah terhadap program dan rancangan pembangunan yang dirancangkan.

“Program pembangunan itu termasuk pembangunan tanah dan tanam semula iaitu bantuan menanam semula menggantikan getah tua dengan klon getah bermutu tinggi.

“Sehubungan itu, pada tahun ini, Sarawak telah menerima peruntukan sebanyak RM47.3 juta untuk melaksanakan program pembangunan pekebun kecil sepanjang tahun ini,” katanya pada Majlis Konvensyen GAP RISDA Negeri Sarawak 2018 di Dewan Panglima Rentap di sini.

Dalam pada itu, Uggah memberitahu, kerajaan negeri akan terus menyalurkan pelbagai bantuan serta kemudahan kepada golongan pekebun kecil getah.

Katanya, antara bantuan yang disalurkan seperti bantuan khas kejatuhan harga getah sebanyak RM500 secara ‘one-off’ serta bantuan musim tengkujuh sejumlah RM200 sebulan bagi tiga bulan.

“Selain itu, kerajaan melalui RISDA juga menyediakan peruntukan tuisyen desa bagi membantu anak-anak pekebun kecil RISDA di negeri ini.

“Ini jelas mencermikan kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan pekebun kecil getah terutamanya mereka di kawasan luar bandar supaya mereka turut menikmati kemajuan dan pembangunan seperti golongan lain,” ujarnya lagi. — DayakDaily