RM36 juta kerugian dicatatkan akibat jenayah komersial di Sarawak

Kelihatan Mohd Azman (kiri) semasa bercakap dalam sidang media tersebut.

KUCHING, 18 Julai: Jenayah Komersil di Sarawak bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini mencatatkan 1,278 kes dengan kerugian dianggarkan mencecah RM36 juta.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata meskipun jumlah kes menunjukkan penurunan berbanding tahun lepas sebanyak 175 kes, namun jumlah kerugian meningkat sebanyak RM5.5 juta.

Katanya, kes paling ramai mangsa adalah penipuan Internet sebanyak 236 kes dengan kerugian RM1.3 juta, diikuti kes menyamar sebanyak 128 kes serta kerugian sebanyak RM3.6 juta.


“Bagi kes Macau Scam pula hanya merekodkan 118 kes, namun mencatatkan kerugian terbanyak iaitu sebanyak RM8 juta.

“Bagi kes tawar pekerjaan pula telah merekodkan 119 kes dengan kerugian sekitar RM1.5 juta dan kes pinjaman wang tidak wujud sebanyak 117 kes dengan kerugian RM1.4 juta,” katanya dalam satu sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Pesuruhjaya Polis Sarawak, hari ini.

Jelasnya, usaha berterusan JSJK Sarawak juga telah menghasilkan sebanyak 448 tangkapan bagi tahun 2022 berbanding 300 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.

“Seramai 714 orang daripadanya telah dituduh di mahkamah.

“Pertuduhan tersebut melibatkan 642 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan sebanyak 1,041 dengan peratusan pertuduhan keempat tertinggi di Malaysia sebanyak 50.23 peratus selepas Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.”

Sementara itu, Mohd Azman turut mendedahkan sehingga hari ini masih terdapat enam warga Sarawak masih terkandas di Kemboja selepas tertipu dengan sindiket penipuan pekerjaan.

Beliau memberitahu pihaknya kini bersama-sama polis Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Kita difahamkan kes melibatkan lapan mangsa dan dua daripada telah berjaya balik ke Sarawak dan enam lagi masih terkandas,” katanya.

Dedahnya juga, kini banyak iklan-iklan penipuan tawaran pekerjaan diperolehi melalui khidmat pesanan ringkas dan media sosial.

“Oleh itu, saya nasihatkan semua pihak agar berhati-hati dengan tawaran-tawaran pekerjanya seperti ini yang menawarkan gaji yang lumayan,” katanya. — DayakDaily