RM18 bilion dalam RMK12 untuk laksanakan projek bekalan air

Dr Rundi(dua dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoU di antara Pengarah Eksekutif Sarawak Skills Hallman Sabri(tiga dari kiri) dan Pengarah Agihan Gas(Kementerian Utiliti) Dr Martin Anyi di Kuching hari ini

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 8 Dis: Sejumlah RM18 bilion telah diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12(RMK12) untuk melaksanakan projek bekalan air
di negeri ini.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata peruntukkan itu bakal memastikan sasaran 100 peratus liputan bekalan air menjelang 2025 dicapai.


“Dalam RMK12 kita mempunyai banyak projek-projek yang telah dicadang dan akan dilaksanakan.

“Maka kerajaan negeri telah menyediakan peruntukkan yang tinggi iaitu RM18 bilion bermula 2021,’katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) di antara Kementerian
Utiliti dengan Akademi Binaan Malaysia(ABM) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak(Sarawak Skills) di sini hari ini.

Menurut Dr Rundi projek-projek bekalan air ini merangkumi Pelan Induk Sistem Bekalan Air Sarawak dan Sistem Grid Air.

“Kaedah ini membolehkan kita menyelesaikan masalah tiada bekalan air yang sering berlaku di beberapa kawasan khususnya di pesisir pantai.

“Manakala Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak(SAWAS) telah ditambahbaik dan sudah ada pelan induk untuk masa depan bagi menyediakan bekalan air di kawasan luar bandar,’ katanya.

Berhubung MoU yang ditandatangani, Dr Rundi berkata ia bertujuan untuk menyediakan pekerja-pekerja mahir di dalam bidang pemasangan dan penyelenggaraan paip air.

Beliau berharap ia mampu meningkatkan kualiti dan pelaksanaan projek-projek berkaitan bekalan air khususnya di kawasan luar bandar.

“Harapan saya agar banyak lagi institusi tampil mengadakan kerjasama dengan kementerian kita bagi menyediakan pekerja-pekerja mahir yang bertauliah,’ katanya.

Sehingga kini liputan bekalan air di Sarawak berada di paras 84 peratus .- DayakDaily