RM150 juta diluluskan segera untuk pembinaan saluran paip air di Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau dan Sebangan

Abang Johari (tengah) berkenalan dengan ketua kaum di Sadong Jaya sebelum menghadiri taklimat JBLB mengenai masalah air di lima kawasan terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud, Sadong Jaya, hari ini.

SADONG JAYA, Jun 11: Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM150 juta bagi menjalankan kerja membina saluran paip air yang baharu di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau dan Sebangan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan terbabit berikutan saluran paip air di semua kawasan terbabit sudah usang kerana berusia lebih 40 tahun dan sudah banyak kebocoran dan kerosakkan sehingga kerap menyebabkan penduduknya mengalami masalah terputus bekalan air.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada paip-paip lama yang sudah berusia lebih 40 tahun ini, terutama dipasang
sepanjang Sungai Batang Samarahan. Jadi apa yang kita putuskan hari ini ialah kita akan membina saluran paip baharu untuk semua kawasan terbabit yang menelan belanja sebanyak RM150 juta,” katanya selepas mendengar taklimat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBLB) mengenai masalah air di lima kawasan terbabit di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pesantren Abdul Taib Mahmud, di sini, hari ini.


Juga menghadiri taklimat itu ialah Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Parlimen Batang Sadong Dato Sri Nancy Shukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi, ADUN Simunjan Datuk Mohd Naroden Majais dan ADUN Sadong Jaya Aidil Lariwoo.

Abang Johari berkata peruntukan terbabit kesemuanya dari kerajaan negeri dan diluluskan segera dengan agensi
berkaitan termasuk JBLB diberikan tempoh selama 18 bulan bagi menyiapkan kerja pembinaan saluran paip baharu di lima kawasan itu.

“Kerja pembinaan ini akan terbahagi kepada beberapa pakej berasingan supaya dapat dilaksanakan dengan segera dan pembinaan saluran paip air ini juga perlu mengikut laluan jambatan dan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri sudah menyelesaikan masalah bekalan air di Kabong dan Sungai Kut di Dalat dengan meluluskan peruntukan segera bagi menaktaraf sapuran paip di kedua kawasan itu.

Bagaimanapun dari taklimat terbabit didapati masalah bekalan air paip juga kerap terputus di kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Sebuyau dan Sebangan walaupun bekalan air bersih adalah mencukupi dari loji rawatan air di
Kuching.

Menurut JBLB, masalah bekalan air di lima kawasan terbabit adalah disebabkan saluran paip usang yang kerap bocor tetapi sukar bagi mengesan kebocoran terbabit kerana kebanyakan paip itu dipasang jauh dalam hutan atau tebingan sungai yang mengalami hakisan. — DayakDaily