Polis cekup 82 kaki judi sepanjang minggu lalu

Anggota polis melakukan serbuan di salah satu premis digunakan untuk perjudian haram.

KUCHING, Jun 11: Polis berjaya memberkas 82 individu selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram menerusi 60 serbuan berasingan yang dilakukan sepanjang minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Dennis Leong Soon Kuai berkata, serbuan bermula Jun 4 hingga 10 itu telah dilakukan di 21 daerah di seluruh negeri ini.

Menurutnya, antara daerah yang terlibat dalam serbuan itu ialah Kuching, Kota Samarahan, Miri, Sibu, Padawan, Bau, Mukah, Bintulu, Limbang, Seratok, Maradong, Marudi, Sarikei, Serian, Kapit, Kanowit, Julau, Betong, Simunjan, Lawas dan Dalat.


“Semua individu yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 56 tahun.

“Sebanyak 35 serbuan dilakukan di pusat-pusat menjual loteri haram, 22 serbuan di premis judi siber dan dua serbuan di tempat judi terbuka dan satu serbuan di gelanggang judi sabung ayam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dennis memberitahu, menerusi kesemua serbuan itu, polis berjaya merampas wang tunai sebanyak RM9,265 disyaki hasil daripada perjudian haram tersebut.

Katanya, polis juga merampas 64 unit telefon bimbit, slip pertaruhan, alat judi holo serta barangan lain yang dipercayai digunakan dalam jenayah berkenaan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. — DayakDaily