Risau dipenjarakan kononnya terlibat kes jenayah, petugas LHDN lesap wang RM500

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 12: Akibat panik selepas dikatakan terlibat dalam kes wang haram dan bersubahat dengan kes pengedaran dadah, seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerugian RM500 ditipu sindiket penipuan ‘Macau scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kes jenayah tersebut melibatkan seorang wanita berusia 38 tahun.


Jelasnya, pada November 10 lalu, mangsa telah terima panggilan daripada +32031999 dan +1388598604 kononnya dari pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan nama mangsa dikesan terlibat dengan kes wang haram dan bersubahat kes pengedaran dadah yang di negara ini.

“Suspek kemudian menyuruh mangsa menyerah diri di Bukit Aman dan jika mangsa gagal berbuat demikian, dia boleh dipenjara.

“Kemudian suspek juga menyuruh mangsa membuat transaksi duit ke dalam akaun suspek untuk proses pembekuan akaun, selain meminta butiran kad pengenalan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, disebabkan bimbang akan dipenjarakan sekiranya tidak mengikuti arahan suspek, mangsa kemudian memasukkan duit RM500 ke akaun RHB suspek atas nama Jaya Vikneshv.

“Mangsa yang menyedari ditipu selepas itu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily