Remaja lelaki maut, motosikal ditunggangi bertembung dengan Isuzu D-Max

Kelihatan keadaan kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan Isuzu D-Max.

LIMBANG, Mei 27: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah Isuzu D-Max di KM12 Jalan Nanga LBBR di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu telah mengakibatkan mangsa, Mohammad Iskandar Zulkarnain Apandi, 17, dari Kampung Tabahan disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan kakinya.


Jelasnya, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC 135 sedang bergerak dari arah Tedungan menuju ke bandar Limbang.

“Namun, malang menimpa mangsa apabila motosikal yang ditunggang tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Isuzu D-Max.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak jatuh ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan kakinya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alexson menambah, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang berusia 60 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, pihak polis sudah merakam keterangan daripada pemandu itu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati keadaan cuaca pada waktu kejadian adalah hujan lebat.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily