Bengkel stesen pertanian dan empat kenderaan musnah terbakar

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

SERIAN, Mei 27: Sebuah bengkel milik Jabatan Pertanian, Tarat musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 5.10 pagi itu turut memusnahkan empat buah kenderaan yang hendak dilupuskan oleh jabatan berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian, Iskandar Apet berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.12 pagi.

Jelasnya, sejurus menerima laporan kebakaran tersebut, sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar bengkel itu.

“Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman sehingga api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.51 pagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Iskandar menambah, kebakaran tersebut telah memusnahkan 100 peratus bengkel serta empat kenderaan tersebut.

Katanya, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan.

“Operasi tersebut ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.27 pagi,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily