Raghad menyertai SATA dan STF mengagihkan lebih 500 bungkus bubur kepada masyarakat di Kuching

Raghad (kiri) turut serta dalam program memasak bubur anjuran SATA dan STF.

KUCHING, Mei 27: Bersempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Gawai Dayak, Persatuan Tarikan Pelancongan Sarawak (SATA) dan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) telah menjalankan tanggungjawab sosial korporat dengan bergotong-royong memasak serta mengagihkan bubur lambuk, bubur Asyura dan bubur Cha-Cha.

Lebih 500 bungkus bubur yang disediakan itu diagihkan kepada beberapa rumah kebajikan, penjaga, hospital, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk polis dan orang ramai di sekitar bandaraya ini.

Turut serta mengagihkan bubur tersebut adalah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, presiden SATA Fiona Marcus Raja dan presiden STF Philip Yong di 11 Ridgeway, Jalan Ong Tiang Swee.


Menurut Fiona, program memasak dan mengagihkan bubur itu merupakan inisiatif bersama antara ahli-ahli SATA dan STF untuk membawa keceriaan dalam bulan Ramadan dan sambutan Gawai Dayak di bandaraya ini.

“Semua bubur ini adalah disediakan oleh lebih 20 ahli SATA dan STF.

“Kami juga dibantu oleh sukarelawan daripada Lions Club of Kuching Centennial (LCKC) yang mengagihkan bungkusan bubur sehingga ke kampung di sekitar Kuching.

“Lebih 40 orang kanak-kanak dari Rumah Kanak-Kanak Perempuan Salvation Army turut hadir untuk memeriahkan lagi program ini,” katanya ketika ditemubual.

Fiona menambah bahan-bahan untuk memasak semua bubur tersebut bukan sahaja disumbangkan oleh ahli SATA dan STF tetapi juga orang awam. — DayakDaily