Pusat operasi judi dalam talian perolehi keuntungan RM450,000 digempur

Gambar komposit menunjukkan suspek yang ditangkap dalam operasi tersebut.

KUCHING, 2 Feb: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menyerbu dua buah kediaman di sebuah kompleks apartmen di Jalan Song, di sini pada 31 Januari lalu yang disyaki dijadikan pusat operasi judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan sempan Ops Ambang Tahun Baru Cina itu dilakukan kira-kira jam 10.30 malam hasil daripada risikan dan maklumat yang diperolehi.

Katanya, seramai lapan lelaki warga Indonesia berumur 15 hingga 30 tahun disyaki operator kegiatan perjudian tersebut ditahan dalam operasi berkenaan.


“Setiap operator (suspek) dibayar gaji dalam lingkungan RM1,300 sehingga RM1,500 dan akan dibayar dengan sejumlah amaun bonus berdasarkan kepada keuntungan yang diperolehi oleh sindiket ini.

“Dipercayai mereka telah bekerja di sini sejak bulan September dan juga Oktober tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Jelasnya juga, sindiket tersebut beroperasi 24 jam sehari dan dianggarkan telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM405,000 sejak mula beroperasi berdasarkan kepada rekod transaksi yang disemak.

“Turut dirampas ialah pelbagai peralatan yang digunakan sindiket beroperasi, termasuk tujuh buah komputer pelbagai jenama, 11 telefon pintar, tiga unit modem dan tiga ‘WiFi router’.

“Kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan juga mendapati terdapat sebahagian suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala sebahagian mempunyai pasport namun telah tamat tempoh.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana jika disabit kesalahan boleh membawa denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas.

“Kesemua suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(C) akta yang sama,” katanya. — DayakDaily