Dua lelaki disyaki ‘lalok’ dadah di dalam kereta ditangkap di Pasar Bau

Kelihatan dua suspek yang diberkas dan dadah yang dirampas.

BAU, 2 Feb: Dua lelaki ditangkap, disyaki sedang khayal (lalok) kerana pengaruh dadah di dalam sebuah kereta di Pasar Bau malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata anggotanya telah memeriksa kereta dinaiki kedua-dua suspek selepas dilihat mencurigakan pada jam 10.15 malam.

Katanya, semasa diperiksa, polis mendapati seorang daripada suspek tiba-tiba menyerahkan satu paket plastik berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.


“Kedua-dua suspek kemudian turut mengaku baru sahaja menghisap dadah berkenaan dan yang dirampas polis adalah baki yang belum digunakan.

“Siasatan awal, mereka mengaku bersama-sama menggunakan dadah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. — DayakDaily