PRU14: SPR anggar kos pengurusan cecah RM400 juta

Tan Sri Mohd Hashim Abdullah

KUCHING, Mac 15: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menganggarkan kos pengurusan bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh mencecah RM400 juta.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, kos termasuk adalah merangkumi kos sewaan, perolehan peralatan, pembayaran elaun serta honorarium bagi para petugas.

Menurutnya, semua pusat penamaan calon, pusat mengundi dan pusat mengira undi juga telah dikenal pasti dan sedia untuk digunakan.


“Selain itu, seramai 250,000 petugas sementara dijangka diperlukan bagi membantu mengendalikan proses pengendalian PRU14 kelak.

“Semua persiapan logistik juga telah dipastikan dalam keadaan baik dan tersedia termasuk pusat mengundi, pengangkutan, helikopter dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Mohd Hashim memberitahu, bagi memastikan proses RRU14 berlangsung secara telus dan adil, SPR menjangkakan seramai 100,000 wakil atau ejen calon bertanding akan menjadi pemerhati tetap terhadap segala proses pilihan raya umum nanti.

Jelas beliau, mereka adalah terdiri daripada pemerhati di barung semakan SPR, ejen tempat mengundi (ETM) yang bertugas sebagai pemerhati semasa proses pengundian berlangsung dan ejen mengira undi (EMU) yang bertugas semasa proses pengiraan undi.

“Namun jumlah itu tidak termasuk pemerhati di luar pusat mengundi.

“Pendek kata, segala proses pilihan raya yang berlaku di dalam dan luar tempat mengundi itu adalah dalam pengetahuan mereka,” katanya lagi.

Mohd Hashim menambah, dalam PRU14, SPR akan menghebahkan nama wakil atau ejen yang bertugas supaya rakyat tahu bahawa proses pilihan raya itu berlaku dengan telus dan adil.

Justeru, katanya, parti-parti politik tidak perlu berasa bimbang dengan ketelusan proses pilihan raya sedia ada yang diamalkan di negara ini.

“Menerusi kehadiran ejen-ejen calon sebagai pihak ketiga, ia merupakan bukti bahawa SPR tidak menafikan hak pemerhati untuk turut serta dalam proses pilihan raya,” ujarnya lagi. — DayakDaily