SPRM bentuk pasukan petugas khas bagi PRU14

Azam (kanan) berbincang Razim selepas majlis serah tugas Pengarah SPRM Sarawak.

KUCHING, Mac 15: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau salah guna kuasa dan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan petugas khas itu dibentuk adalah bagi memantau kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1954.

Katanya, SPRM akan memantau isu yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak yang menyatakan isu rasuah dan salah guna kuasa berlaku yang boleh dikuatkuasakan di bawah akta tersebut.


“Pasukan petugas khas yang dibentuk turut akan dianggotai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah SPRM Sarawak melibatkan Razim Mohd Noor yang baru dilantik ke jawatan itu dan Timbalan Pengarah SPRM Sarawak, Zulhairy Zaidel di sini semalam.

Sementara itu, Azam memberitahu, SPRM akan memanggil beberapa lagi syarikat untuk membantu siasatan skandal penjualan tanah di mukim Ijok, Selangor.

Jelas beliau, ketika ini siasatan pihaknya menumpukan kepada lima syarikat dan mungkin ada tambahan beberapa syarikat lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“SPRM sedang mengkaji dokumen-dokumen yang diambil berkaitan penjualan tanah berkenaan.

“Kita juga memerlukan masa untuk menyiasat kes tersebut memandangkan siasatan forensik giat dijalankan ke atas beberapa akaun milik syarikat bagi mengesan transaksi yang mencurigakan,” tegas beliau.

Berhubung siasatan terhadap dua individu yang ditahan kerana dipercayai menerima sejumlah wang bagi menutup kes projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang, Azam memberitahu, kertas siasatan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi.

“Selepas selesai siasatan, kita akan serahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily