PRU15: 808 orang tunaikan tanggungjawab undi awal di Kem Semenggo

Anggota tentera menunaikan tanggungjawab mengundi di Kem Semenggo.
Advertisement

KUCHING, 15 Nov: Pengundian awal untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Stampin hari ini berjalan lancar di Kem Semenggo, Batu 7 di sini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), seramai 808 anggota tentera serta ahli-ahli Keluarga dijangka menunaikan tanggungjawab mengundi awal.

Ia melibatkan tiga unit di sekitar Kem Semenggo iaitu 11 RAMD, 671 Kem Transit dan 3 Kompeni Angkut KPD.

Advertisement

“Dengan kaunter pendaftaran undi dibuka pada jam 7.30 pagi dan proses pengundian bermula jam 8 pagi, sebilangan anggota tentera mulai hadir bersama keluarga mereka sekitar jam 7.45 pagi.

” Suasana pusat undi kelihatan tenang serta terkawal dengan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya dan petugas lain membantu untuk melancarkan proses pengundian,” kata UKAS.

Difahamkan, seramai 332 orang telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi setakat jam 10 pagi.

Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad turut hadir sekitar jam 10:15 pagi untuk meninjau keadaan di sini.

Mardzuki memberitahu, jumlah anggota tentera termasuk pasangan di seluruh Sarawak adalah sebanyak 12,259 orang untuk undi awal dan juga undi pos.

“Jumlah ini juga merangkumi anggota yang mendaftar untuk mengundi di Sarawak tetapi kini bertugas di Semenanjung Malaysia.

“Saya yakin di Sarawak, pengundian ini akan mencecah 100 peratus kerana ia merupakan tanggungjawab kita,” tegasnya.

Terdahulu, Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Parlimen Stampin Lo Khere Chiang turut hadir sekitar jam 9:15 pagi bagi meninjau pelaksanaan proses pengundian di sini.

Proses undi awal di Kem Semenggo akan tamat pada jam 5 petang.

Menurut statistik daripada SPR, sejumlah 121,009 orang telah berdaftar untuk mengundi di Parlimen Stampin dalam PRU-15 ini. — DayakDaily

Advertisement