Riot akan bawa Serian ke tahap yang lebih tinggi

Riot berucap di hadapan tetamu yang hadir semasa melancarkan jentera pilihan raya Wanita GPS di Dewan Sri Riot, Kampung Pichin.

Oleh Marverick

SERIAN, Nov 14: Penyandang kerusi P199 Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem ingin melihat Bahagian Serian berada di tahap yang lebih tinggi dalam tempoh lima tahun yang akan datang.

“Berdasarkan pengalaman saya, saya boleh membawa Serian ke tahap yang lebih tinggi. Semua tahu saya bekas Timbalan Menteri Luar dan juga bekas Menteri Pembangunan Sumber Manusia dan sekarang menjadi Duta Khas kepada Perdana Menteri untuk Asia Timur dengan status menteri.


“Dengan semua pengalaman tersebut saya amat yakin boleh membawa Serian ke tahap yang lebih tinggi. Serian sudah membangun pesat. Anda harus ingat, Serian adalah bahagian yang paling baharu ditubuhkan di Sarawak.

“Visi saya adalah untuk membuat Serian hebat sehebat bahagian lain di Sarawak walaupun sebenarnya bahagian kita baharu ditubuhkan,” kata Riot kepada media selepas melancarkan jentera plihan raya Wanita GPS di Dewan Sri Riot, Kampung Piching, semalam.

Sementara itu, Riot juga mengharapkan Jabatan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di Tebedu akan mempunyai sebuah kompleks baharu untuk menampung permintaan melalui sempadan yang semakin meningkat antara Sarawak dan Kalimantan.

“Kerajaaan persekutuan sudah meluluskan RM100 juta dan YAB Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sudah bersetuju berdasarkan ‘one to one’ basis, yang bermaksud sekiranya Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM100 juta, Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan RM100 juta. ICQ Tebedu sangat penting kerana hanya satu-satunya menjadi pintu masuk antara Malaysia dan Indonesia,” kata beliau.

Beliau juga menegaskan keperluan membangunkan Tebedu Inland Port yang telah terbiar.

“Apabila Tebedu Inland Port dibangunkan dengan baik, ia akan memberi banyak manfaat kepada rakyat Serian,” kata beliau.

Riot, 71, sudah menjadi Ahli Parlimen Serian semenjak tahun 1990 berkata, beliau masih cergas dan bersedia terus berkhidmat kepada pengundinya.

“Umur hanyalah nombor sahaja dan saya masih lagi cergas dari segi fizikal dan moral. Masih ada yang bekerja ketika berumur 78 dan ada juga yang sudah berumur 96 tahun,” katanya sambil memberitahu bahawa beliau masih lagi bermain badminton untuk mengekalkan kecergasan. — DayakDaily