Projek Jambatan Batang Lupar dijangka bermula November ini

Rohani (tiga kiri) bersama tetamu di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya.

KUCHING, 8 Jun: Projek pembinaan Jambatan Batang Lupar sepanjang 5km yang merupakan terpanjang melintasi sungai di negara ini dijangka akan bermula pada November tahun ini.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim, berkata tender projek sudah dikeluarkan kerajaan negeri tetapi masih perlu mengaturkan perkara berkaitan tapak tanah projek supaya pembinaanya dapat berjalan dengan lancar.

“Sekarang sedang diaturkan perkara berkaitan tapak tanahnya berikutan perancangan penjajaran jambatan ada berubah sedikit. Ini supaya pembinaannya nanti tiada sebarang masalah,” katanya ketika mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Taman Sejoli, Petra Jaya, disini, hari ini.


Juga menghadiri rumah terbuka terbabit ialah Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor.

Sementara itu, Rohani juga menyangkal kenyataan seorang ahli politik parti pembangkang yang telah mendakwa projek pembinaan Jambatan Lupar terbabit adalah satu pembaziran wang rakyat dalam laman sosial minggu lepas.

Beliau malahan terkejut dan merasa malu dengan kenyataan terbabit kerana mendedahkan sebelum ini telah bersama mendiang bapa kepada ahli politik pembangkang itu, yang juga bekas Ahli Parlimen dari Sarawak, untuk berusaha memohon peruntukan memulakan projek itu dari kerajaan pusat sebelum ini.

“Ini (Jambatan Batang Lupar) juga bukan projek bagi menghubungkan Parlimen Batang Lupar sahaja tetapi menghubungkan seluruh Sarawak, Brunei dan Sabah serta akan membawa perubahan utama di seluruh kepulauan Borneo ini,” katanya.

Rohani ketika sidang media di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya.

Rohani memahami ahli politik terbabit dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan berbeza parti politik dengannya, tetapi mereka juga perlu ada persefahaman terutama mengenai pembangunan yang memberi kebaikan kepada rakyat Sarawak seperti projek jambatan itu.

Katanya ahli politik pembangkang terbabit sebaliknya mahu duit peruntukan pembinaan projek jambatan itu digunakan bagi membina jalan menghubungkan Lingga dan Sebuyau, tanpa menyedari yang sebelum ini sudah kerap kali diumumkan akan dibina jalan menghubungkan dua tempat terbabit.

“Jadi tolonglah, kalau kamu hendak berjuang untuk rakyat Sarawak, buatlah dengan betul,” katanya.

Rohani berkata penduduk kawasan terbabit juga sudah menanam pelbagai jenis tanaman seperti disarankan kerajaan, tetapi kos memasarkan hasil tanaman terbabit terlalu tinggi kerana tiadanya jambatan yang memendekkan perjalanan mengangkut hasil tanaman terbabit ke bandar besar. — DayakDaily