Program kesedaran pendidikan seksual diadakan di 14 sekolah menengah tahun ini

Datuk Seri Fatimah Abdullah (tengah) mengadakan sidang media selepas Taklimat Plan Strategi Majlis Pembangunan Sosial (MPS).

KUCHING, Jan 10: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak mensasarkan mengadakan program Kesedaran Dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) di sebanyak 14 sekolah menengah di seluruh negeri ini sepanjang tahun ini bagi memberikan kesedaran kepada pelajar sekolah terbabit perlunya mereka mengelakkan kehamilan remaja.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata demikian berikutan tahun lepas program KAPS yang selama dua hari dua malam telah diadakan di sebanyak sembilan sekolah menengah terpilih seluruh negeri ini dan didapati berjaya mula mengurangkan kes kehamilan di kalangan remaja tempatan.

“Berikutan itu, tahun ini kami mensasarkan meningkatkan (bilangan sekolah mengadakan program KAPS) sehingga 14 sekolah menengah dan merangkumi sekolah itu di semua 11 bahagian negeri ini kerana kami percaya program ini mampu mewujudkan kesedaran kepada pelajar mengenai kehamilan remaja dari segi kesannya termasuk perkahwinan pasangan muda, pendidikan yang terjejas dan isu kesihatan ibu muda yang mengandung,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Plan Strategi Majlis Pembangunan Sosial (MPS) kepada Menteri-Menteri Muda dan Setiausaha Tetap Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak di Bangunan Baitul Makmur (MASJA) , Petra Jaya, di sini, semalam.


Sebanyak 14 sekolah terbabit yang sudah dikenalpasti akan mengadakan program KAPS tahun ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lake dan SMK Semerah Padi di Bahagian Kuching pada Febuari, SMK Selirik dan SMK Song (Bahagian Kapit, Febuari), SMK Beladin (Bahagian Betong, Mac), SMK Serian (Bahagian Serian, Mac) dan SMK Muara Tuang (Bahagian Samarahan, April).

Sekolah lain ialah SMK Sungai Paoh dan SMK Meradong (Bahagian Sarikei, Jun), SMK Oya (Bahagian Mukah, Julai), SMK Bekenu (Bahagian Miri, Ogos), SMK Sundar (Bahagian Limbang, September), SMK Ulu Balingian ( Bahagian Sibu, Oktober) dan SMK Sebauh (Bahagian Bintulu, Oktober).

Fatimah berkata dalam program terbabit agensi kerajaan yang berkaitan juga akan mendidik pelajar mengenai undang-undang berkaitan termasuk klasifikasi jenayah rogol sekiranya melakukan hubungan seks dengan pasangan bawah umur walaupun dilakukan diatas perasaan suka sama suka.

“Disamping itu, kita juga akan meminta Jabatan Penjara memberikan demonstrasi pelaksanaan hukuman sebat kepada pesalah jenayah rogol di sekolah bagi mendedahkan hukuman itu kepada pelajar semasa program,” katanya.

Disamping itu, tahun ini pihaknya bercadang mencari keadah memperluaskan penyertaan program KAPS kepada golongan remaja yang tercicir dari persekolahan dan tidak hanya memfokuskan kepada pelajar di bangku sekolah sebagai kumpulan sasaran program itu.

“Ini kerana dari keseluruhannya sebanyak empat kes pembuangan bayi tahun lepas di negeri ini, sebanyak dua kes terbabit telah dilakukan remaja yang tercicir dari persekolahan. Maka, kami perlu melihat bagaimana membabitkan juga remaja sedemikian dalam program KAPS di sekolah,” katanya. — DayakDaily