Mayat pelajar dijumpai dalam but kereta, teman lelaki ibu ditahan

Pasukan perubatan tiba untuk tindakan lanjut.

MIRI, Jan 10: Aksi kejar-mengejar sejauh kira-kira lima kilometer antara unit kereta peronda (MPV) polis dengan sebuah kereta Proton Iswara Aeroback berakhir dengan penahanan seorang suspek yang dipercayai membunuh dan menyembunyikan mayat seorang pelajar di dalam but kenderaan yang dipandunya di Jalan Miri Port, Kuala Baram di sini petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek berusia 33 tahun dan bekerja di sebuah kedai perabot di Piasau di sini berjaya ditahan oleh pasukan polis kira-kira pukul 5.55 petang.

Katanya, sebelum adegan kejar-mengejar itu, anggota polis MPV yang melakukan rondaan rutin di lokasi berkenaan telah curiga melihat kelibat suspek yang memberhentikan kereta di tepi jalan di kawasan semak di situ sambil membuka but kereta tersebut.


“Bagaimanapun, sejurus menyedari kehadiran anggota polis, suspek kemudian bertindak menutup but kereta itu lalu memecut laju meninggalkan kawasan berkenaan.

“Pasukan polis kemudian bertindak mengejar suspek sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya menahannya di simpang Miri Port,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat mangsa yang ditemui dalam but kereta suspek.

Mengulas lanjut, Dev memberitahu, pasukan polis kemudian mengarahkan suspek yang berasal dari Kuala Lumpur itu keluar dari kereta dan telah membuka bahagian but kereta yang dipandunya.

Jelasnya, sebaik membuka but kereta itu, pasukan polis kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui satu mayat remaja perempuan Cina berusia 13 tahun yang masih lengkap berpakaian dan disembunyikan di dalam but kenderaan tersebut.

“Hasil soal siasat mendapati suspek dipercayai cuba membuang mayat mangsa di kawasan semak di tepi jalan tersebut.

“Siasatan lanjut mendedahkan suspek merupakan teman lelaki kepada ibu mangsa dan tinggal bersama mangsa serta kakaknya di sebuah rumah sewa di Permyjaya di sini,” ujarnya lagi.

Dev menambah, semasa kejadian dipercayai berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum lelaki tersebut disyaki mencekik mangsa sehingga mati.

Katanya, siasatan juga mendapati ibu mangsa keluar bekerja dan kakak mangsa pergi ke sekolah ketika insiden itu.

“Buat masa ini polis masih menyiasat motif kejadian dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya lagi. — DayakDaily