PRN12: GPS harap kempen rumah ke rumah dibenarkan

Nanta (empat dari kiri) ketika hadir merasmikan pejabat NIOSH di Kapit semalam.

Oleh Chris Bishop

KAPIT, 21 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berharap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi kelonggaran untuk membenarkan aktiviti kempen dari rumah ke rumah menjelang Pilihanraya Negeri Ke12 (PRN12).

Setiausaha Agungnya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia disebabkan kemudahan internet di negeri ini masih belum menyeluruh seperti di Melaka.


Beliau yang juga MP Kapit berkata, keadaan itu menyukarkan untuk calon dari mana-mana parti yang bertanding berinterkasi dengan rakyat atau pengundi.

“Kita harap kempen dari rumah ke rumah dibenarkan sebab kita di negeri ini tiada kemudahan media sosial yang yang sempurna.

“Di sana (Melaka), mereka gunakan televisyen, telefon, internet dan macam-macam platform media sosial.

“Di sini walaupun ada tetapi ia tidak menyeluruh lagi,” katanya ketika ditemui pada Perasmian Institut Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara(NIOSH) di Kapit Town Square semalam.

SPR pada Jumaat lepas mengeluarkan kenyataan akan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan dan kempen PRN Sarawak, yang mungkin diadakan bulan depan.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata kelonggaran itu dilaksanakan berikutan faktor geografi di Sarawak yang luas, berbanding di Melaka yang padat dengan penduduk, sekali gus PRN Melaka memerlukan SOP yang ketat.

Katanya, perincian mengenai kelonggaran SOP itu akan diumumkan selepas SPR berbincang dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengurusan Covid-19.

Sebelum ini, SPR memaklumkan mesyuarat berkaitan PRN Sarawak Ke-12 akan diadakan Rabu ini bagi membincangkan tarikh penting seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain. — DayakDaily